Rosebay Photobooth: BAGAIMANA MEMILIH JURUSOLEK DAN JURU ANDAM

Thursday 21 April 2016

BAGAIMANA MEMILIH JURUSOLEK DAN JURU ANDAM

TIPS MEMILIH JURUSOLEK DAN JURUANDAM



Bagi yang ingin mendapatkan sentuhan profesional dari segi tatarias diri pada majlis perkahwinan nanti, khidmat daripada juruandam atau jurusolek semestinya diperlukan. Apa beza juruandam dan jurusolek? Ramai sebenarnya yang keliru tentang skop tugas juruandam dan jurusolek. Skop kerja jurusolek lebih terhad kepada solekan sahaja; mereka berkemahiran menyolek wajah pengantin dengan solekan yang terkini dan sesuai dengan wajah pengantin. Kelebihan memilih jurusolek adalah bajet yang rendah dan sentuhan solekan yang lebih baik kerana mereka sememangnya dilatih khusus untuk solekan.

Juruandam, ataupun mak andam, pula mempunyai skop kerja yang lebih luas. Selain berperanan menyolek pengantin, juruandam juga mempunyai pelbagai koleksi baju pengantin yang dapat digunakan oleh pengantin. Di samping itu, juruandam mempunyai kelengkapan secukupnya untuk menatarias pelamin dan bilik tidur. Khidmat rawatan wajah, badan dan sebagainya turut disediakan oleh juruandam profesional. Kadang-kadang, juruandam turut berkongsi petua dan amalan yang boleh dilakukan bakal pengantin untuk menambahkan seri diri dan menambat hati pasangan. Namun, berhati-hatilah dalam memilih amalan yang diajarkan, dibimbangi terselit unsur-unsur tidak baik seperti susuk, botox dan sebagainya.

Untuk mencari juruandam dan jurusolek untuk majlis perkahwinan nanti, anda boleh mencari maklumat menerusi iklan-iklan di majalah-majalah pengantin, surat khabar dan internet. Beberapa perkara yang berikut boleh dijadikan panduan dalam memilih jurusolek atau juruandam;

1. Pastikan juruandam atau jurusolek yang akan dipilih mempunyai pengalamandalam menatarias pengantin sebelum ini. Dapatkan testimonial daripada pelanggan-pelanggan sebelum ini. Kalau boleh, minta gambar-gambar solekan pengantin yang pernah dilakukan oleh juruandam atau jurusolek tersebut.


2. Buat temujanji dan cuba dahulu solekan yang dilakukan oleh juruandam atau jurusolek tersebut. Bawa rakan atau ahli keluarga untuk mendapatkan maklumbalas. Tidak perlu mengambil masa yang lama; seorang juruandam atau jurusolek yang mahir sudah semestinya tidak memerlukan masa yang lama untuk menyolek anda.


3. Pastikan anda berpuas hati dengan solekan percubaan yang diberi. Dapatkankonsep solekan yang akan digunakan ke atas anda. Pastikan solekan yang dibuat nanti tidak keterlaluan, sesuai dengan kulit wajah, pakaian pengantin yang dipakai dan tema majlis perkahwinan. Usahlah terlalu tebal sehingga menjadikan wajah anda seperti orang lain; mungkin nanti pasangan tidak dapat mengecam anda. Cukuplah sekadar solekan yang dapat menyembunyikan kecacatan yang ada dan menaikkan seri wajah anda.


4. Seboleh-bolehnya, cuba minta supaya orang yang menyolekkan andasemasa sesi percubaan adalah orang yang sama yang akan berkhidmat semasa majlis perkahwinan nanti. Walaupun pekerja dari butik atau tempat yang sama, kadang-kadang teknik dan hasil solekan akan berbeza. Jika ini terjadi, anda mungkin mendapat hasil solekan yang baik semasa sesi percubaan, tetapi tidak semasa hari majlis perkahwinan. Bukankah ini satu kerugian buat anda?


5. Buat kajian terlebih dahulu dengan menilai dan membandingkan sekurang-kurangnya tiga atau lebih jurusolek atau juruandam supaya anda mendapat khidmat yang terbaik pada harga berpatutan. Setelah memilih yang berkenan di hati, buat tempahan awal supaya tidak diambil pengantin lain. Menempah jurusolek atau juruandam sebaik-baiknya dilakukan dua atau tiga bulan sebelum majlis perkahwinan.


Mendapatkan khidmat profesional seorang juruandam atau jurusolek adalah pilihan, bergantung kepada kehendak dan keupayaan bajet persiapan majlis perkahwinan anda. Sekiranya merasakan anda tidak mampu mendapatkan khidmat mereka, mungkin boleh mendapatkan bantuan daripada ahli keluarga dan rakan-rakan yang mempunyai kemahiran menyolek. Solekan hanyalah sebagai alat. Yang penting, anda sendiri yakin dengan penampilan anda, banyakkan senyum dan jaga kesihatan supaya tidak kelihatan lesu dan letih di hari majlis perkahwinan nanti.

No comments:

Post a Comment