Rosebay Photobooth

Wednesday 20 April 2016

CABARAN SEBELUM DAN SELEPAS BERTUNANG!!





Ada yang berpendapat, sebelum dan selepas bertunang pasti ada perbezaan dari segi perhubungan. Jika sebarang perselisihan dibiarkan berlarutan, ia akan menjadi lebih dingin menjelang anda menuju ke gerbang perkahwinan. Malah, ada yang tidak kesampaian untuk melangkah ke fasa yang seterusnya itu. Tidak kurang juga yang menjadikan alasan “Kami sudah bertunang”, untuk bergaul mesra dengan insan yang belum pasti menjadi pasangan yang sah itu. Sebelum dan selepas bertunang, bagaimana menjaga hubungan supaya lebih sayang menyayangi tanpa melampaui batas agama sebagai Muslim sejati?



SEBELUM BERTUNANG

Awalnya Memang Indah
Bagaimana perasaan anda jika dapat membeli dan memiliki barangan yang anda inginkan contohnya seperti telefon bimbit baru? Tentu sangat teruja, bukan? Setiap masa ia akan dijaga rapi bimbang rosak atau jatuh berkecai. Jika calar sedikit pun pasti membuatkan anda berasa kurang senang.
Begitulah juga diibaratkan sesebuah perhubungan. Di awal perkenalan, memang terlalu indah dirasakan. Banyak perkara yang ingin dikongsi dan dilakukan bersama. Seboleh-bolehnya tidak mahu disakiti hati insan yang disayangi. Setiap masa pasti ada sahaja kejutan walau cuma sepotong ayat-ayat indah melalui mesej pesanan ringkas. Sebaiknya, anda bersederhana sahaja. ‘Simpan’ sedikit keterujaan anda itu untuk sebarang kemungkinan. Jika hubungan hanya bertahan seketika, tidaklah anda merana kelak.


Cabaran Sekeliling
Memiliki pasangan yang cantik rupa paras mahupun kacak, pastinya wujud cabaran dari segi persaingan. Status ‘kekasih’ masih belum dapat memberi sebarang jaminan anda berjaya memilikinya sebagai pasangan yang sah suatu hari nanti. Jadi, jaga adab dan perilaku anda sejak awal perkenalan lagi. Itulah yang terbaik. Jaga hati, jaga lisan. Semua itu pasti akan dikenang kembali tika dugaan datang menjengah.


Buktikan

Membuktikan kasih sayang haruslah berpada-pada dan usah berlebih-lebihan. Cukup sekadar anda mengambil berat akan dirinya ketika perlu. Bertanya khabar dan sentiasa sedia menghulurkan bantuan atau menjadi pendengar setia. Walaupun anda cuba untuk membuktikan betapa sayang dan seriusnya anda dalam perhubungan, jangan sesekali hingga sanggup menggadaikan maruah. Jika benar anda serius, teruskan dengan fasa yang seterusnya. Bertunang, sebagai tanda si dia sudah dimiliki.



SELEPAS BERTUNANG

Usah Terlalu Mengongkong
Status si dia sebagai tunangan anda bukanlah alasan untuk anda mengongkong segala pergerakan dan tindak-tanduk tunang anda. Tidakkah anda terfikir tunang anda akan mulai bosan dan berasa teragak-agak untuk meneruskan hubungan lebih lanjut? Baru menjadi tunangan sudah begitu, apatah lagi sudah berkahwin kelak. Perkara ini juga antara yang menjadi punca keretakan sesebuah hubungan.


Bina Hubungan
Selepas bertunang anda masih lagi perlu menjaga adab dan tatasusila kerana selagi anda masih belum sah sebagai suami isteri, ia perlu dititikberatkan. Ambil peluang untuk mengenali ahli keluarga masing-masing dengan lebih rapat lagi. Sekurang-kurangnya anda tidak begitu kekok untuk bermesra dengan mereka selepas mendirikan rumah tangga nanti. Dalam masa yang sama, anda boleh mengetahui susur galur atau asal usul si dia lebih lanjut.



Matlamat Jelas
Jaga kelakuan anda sebagai tunangan orang. Jika anda serius akan hubungan anda dengan si dia, bertindaklah sewajarnya. Namun, anda masih sempat membuat pilihan sama ada apakah benar tunangan anda layak untuk menjadi pemimpin anda kelak. Jika si dia tidak serius dan sudah jelas tiada ciri-ciri pemimpin yang baik, malah tidak berusaha ke arah itu, anda masih belum terlambat untuk membuat pilihan.

No comments:

Post a Comment